Tuesday, 21 February 2017

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor


SHAH ALAM: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan memutuskan tindakan terhadap Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, dalam Sidang DUN Mac ini. 

Speaker DUN, Hannah Yeoh, berkata satu penyata berhubung keputusan jawatankuasa itu sama ada meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali itu digantung atau meminta maaf, akan dibentangkan pada Sidang DUN itu nanti. 

"Hari ini jawatankuasa hanya adakan mesyuarat bagi mendengar hasil pendengaran yang dijalankan terhadap ADUN Batang Kali sebelum ini. 

Jadi, belum ada keputusan dalam perkara ini. 

"Tugas jawatankuasa ialah membuat pendengaran dan menyediakan penyata tindakan. 

Kita akan kemukakan penyata tindakan kepada DUN Selangor yang akan bersidang pada Mac ini," katanya ditemui di lobi DUN Selangor di sini, hari ini. 

Ditanya mengenai kenyataan peguam mewakili Mat Nadzari, Kamarudin Ahmad bahawa tindakan terhadap anak guamnya itu melangkaui bidang kuasa ditetapkan, Hannah berkata, usul itu disokong oleh majoriti ADUN.

"ADUN Sungai Pinang (Datuk Teng Chang Khim) mengemukakan usul supaya ADUN Batang Kali dihadapkan ke jawatankuasa kerana melanggar Peraturan Tetap 36(6), yang melarang mana-mana ADUN membuat sangkaan jahat kepada ADUN lain dalam sidang DUN," katanya. 

Pada 6 Februari lalu, Mat Nadzari dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung satu kenyataan yang dikeluarkannya ketika sidang DUN, pada 1 November tahun lalu. 

Mat Nadzari membangkitkan persoalan mengenai matlamat DAP untuk tubuhkan sistem demokrasi sosial berperlembagaan di negara ini serta meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pendirian, sama ada kerajaan negeri menyokong dasar perjuangan DAP atau sebaliknya. 

Semalam, peguam mewakili Mat Nadzari menyangkal kenyataan Speaker DUN Selangor, bahawa perkara membabitkan prosiding DUN tidak boleh dicabar di mahkamah.

http://www.bharian.com.my/node/251156?m=1


No comments:

Post a Comment