Serah tugas Presiden: Ahmad Zahid utamakan masa depan UMNO

Tindakan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan, untuk mengalas jawatan tertinggi UMNO mencerminkan sikap Presiden Parti itu yang mengutamakan masa depan parti.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata kepemimpinan peringkat negeri itu juga mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid atas keputusan berkenaan.

“Bukan mudah untuk membuat keputusan yang saya fikir paling susah dalam kerjaya politik beliau. Sudah tentu kepentingan masa depan parti yang beliau utamakan.


“Sebenarnya kita di negeri tidak ada masalah untuk berkerja bawah pimpinan beliau.

“Kita harap timbalannya dapat cepat menerima, memikul dan menjalankan tugas sebagai pemangku,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Mat Nadzari berkata, kerusi diduduki Mohamad itu kini panas, manakala semua peringkat kepemimpinan parti dan ahli UMNO keseluruhannya sudah gelisah menjadi ahli sebuah parti yang kalah dan bukan lagi sebagai pemerintah.

Justeru, katanya, semua pemimpin dan akar umbi mengharapkan keajaiban berlaku. Jadi, kepada Tok Mat, selamat bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Ahmad Zahid semalam yang memberi kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas Presiden parti itu berkuatkuasa serta merta.

Ahmad Zahid semalam dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak lebih ramai pemimpin dan ahli UMNO keluar daripada parti itu.

Membabitkan isu pemimpin termasuk wakil rakyat UMNO yang mengambil tindakan melompat atau keluar parti, Mat Nadzari berkata beliau difahamkan saman sivil atas dasar menuntut kerugian sudah dimulakan oleh UMNO Malaysia.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa kemasukan bekas pemimpin UMNO ke dalam parti berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di kawasan luar bandar, Mat Nadzari berkata, ia seperti tidak malu.

“Tak malulah... ambil ahli orang untuk kukuhkan parti sendiri. Ini menunjukkan kepada rakyat (bahawa) BERSATU sebenarnya tak kuat, akar umbi tak ada.

“Hidup mereka cukup cukup makan saja kalau nak lawan kuasa DAP dan PKR. Sangat jelas sekarang mereka parti kena cucuk hidung,” katanya. - BH Online





Popular posts from this blog

Barometer #KLENTONGKASI 100 Hari PH

Bahasa Maqasid "akhraf al-Darrarain"