UMNO Selangor tak halang, tapi tak galak bentang usul desak Zahid undur

Mat Nadzari, Zahid Hamidi, UMNO Selangor, UMNO, Politik,

UMNO Selangor tidak akan menghalang mana-mana UMNO Bahagian di negeri itu untuk membentangkan usul supaya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatannya.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, ia berikutan UMNO Bahagian tidak boleh dihalang untuk berbuat demikian kerana perkara itu dibenarkan dalam perlembagaan parti.

“Setakat ini, kami tidak mendengar mana-mana Bahagian yang menyatakan hasrat mereka untuk membentangkan usul itu. Kami tidak boleh menghalang mereka daripada mengambil tindakan itu dan pada masa sama, kami juga tidak menggalakkannya. Kami tidak mahu terjebak dalam perangkap yang dipasang pihak tertentu.

“Pada pandangan peribadi saya, kita seharusnya tidak menggalakkan kerana tidak mahu ia menjadi contoh kepada tindakan sama di masa hadapan. Pada ketika ini, kami akan menghormati keputusan yang dibuat oleh dua pertiga ahli dalam pemilihan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi New Straits Times Press, hari ini.

Pada masa sama, Nadzari turut menasihati ahli UMNO untuk mematuhi perlembagaan parti.

“Ada balasan jika mereka bertindak melanggarnya,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Selangor sudah mengambil pendirian untuk berdiri teguh dengan parti selain enggan terbabit dengan pertelingkahan dalaman yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan kepimpinan dan ahli.


Popular posts from this blog

Barometer #KLENTONGKASI 100 Hari PH

Bahasa Maqasid "akhraf al-Darrarain"